PKR Cabang Bagan kutuk keras serangan tidak bertamadun di Christchurch

PKR Cabang Bagan kutuk keras serangan tidak bertamadun di Christchurch

PKR Cabang Bagan amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya serangan rambang dan tidak bertamadun pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat kelmarin.

Malah, serangan tersebut memperlihatkan sikap tidak bertamadun serta tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh mereka yang kononnya mendakwa mempunyai tamadun yang hebat di negara tersebut.

Demikian dizahirkan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, selepas menyampaikan sumbangan makanan bulanan kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Bagan semalam.

Alan Oh (Tengah) bersama sebahagian penerima sumbangan dari PKR Cabang Bagan semalam.

Jelasnya lagi, tindakan yang paling maksimum mesti diambil terhadap pelaku tersebut tanpa adanya kompromi oleh mana-mana pihak termasuk New Zealand.

“Amat diharapkan kerajaan New Zealand boleh menegakkan keadilan dengan bertindak secara adil terhadap pembunuh kejam dan bersifat kebinatangan tersebut.

“Sebelum ini dunia antarabangsa sering melaung-laungkan anti keganasan maupun anti perkauman, sebaliknya apa yang dilaungkan selama ini tidak menjadi realiti yang boleh dipraktikkan.

“Sehubungan itu, rakyat dalam negara ini lebih bernasib baik dan harus bersyukur kerana dalam keadaan masyarakat majmuk keamanan dan perpaduan masih terpelihara dengan baik,” ujarnya.

Maka itu kata Alan lagi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendokong kepimpinan kini mempunyai beban yang amat berat bagi merealisasikan keamanan terus kekal dalam negara ini.

“Komitmen yang diberikan secara serius oleh kerajaan PH dan keprihatinan terhadap setiap golongan masyarakat amat dipuji dan perlu dihalusi dengan sebaik mungkin.

“Tanggungjawab yang digalas oleh kerajaan kini mesti disokong sepenuhnya bagi memastikan keamanan terus terpelihara, tanpa provokasi dan elemen jahat daripada mana-mana pihak.

“Sekiranya harapan ini dapat dijaga dengan sebaik mungkin, yakinlah bahawa perpaduan dan kedamaian dikalangan masyarakat berbilang kaum sedia ada akan tertegak berterusan dalam negara yang amat dicintai,” tambah beliau lagi.