PKR Cabang Bagan optimis kerajaan mampu pulih kedudukan fiskal negara

PKR Cabang Bagan optimis kerajaan mampu pulih kedudukan fiskal negara
Barisan kepimpinan PKR Cabang Bagan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mendiang Moey Yun Peng semalam.

Tempoh masa selama tiga tahun diperlukan sepertimana yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng kelmarin adalah komitmen yang harus diberi dokongan oleh semua rakyat dalam negara ini, kata Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh.

Beliau berkata, ekoran skandal 1MDB ternyata telah memberi impak buruk yang amat besar kepada kewangan negara.

Alan Oh

“Kita optimis setelah kedudukan fiskal negara dapat dipulihkan, ekonomi negara mampu untuk bangkit semula.

“Kehilangan berbilion ringgit hasil kepimpinan kleptokrasi terdahulu memberi kesan negatif yang amat ketara.

“Rentetan itu, pelbagai tindakan dan usaha sedang direncanakan oleh kerajaan PH membuktikan kesungguhan bagi mengatasi pelbagai kerumitan kini,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini yang mahu rakyat bersabar sementara kerajaan Pakatan Harapan (PH) memulihkan kembali kedudukan fiskal negara.

Katanya lagi, ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperbetulkan segala kepincangan yang telah berlaku semasa.

Malah kata Alan lagi, kerajaan PH sedang melangkah setapak demi setapak bagi merealisasikan segala janji yang telah dibuat.

“Dalam tempoh sembilan bulan kepimpinan pelbagai polisi bagi telah berjaya dilaksanakan.

“Ini termasuklah melaksanakan gaji minima, caruman kepada isteri yang tidak bekerja dan pelbagai dasar yang sedang dirangka.

“Dalam tempoh lima tahun pemerintahan kerajaan PH, banyak reformasi mampu dilaksakan dengan sokongan yang bercambah harus diberikan, ” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika barisan kepimpinan cabang tersebut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa mendiang Moey Yun Peng yang maut setelah keretanya terjunam ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang, Ahad lalu.