Malaysia Dateline

PKR Cabang Kota Raja zahir sokongan penuh terhadap PKR pimpinan Anwar

Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja menzahirkan sokongan penuh dan taat setia kepada PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden.

Dalam satu kenyataan semalam, pimpinan cabang berkenaan berkata, PKR Cabang Kota Raja dengan tegas akan terus mempertahankan mandat rakyat pada PRU14 lalu dan tidak berkompromi dengan anasir jahat yang cuba mensabotaj parti itu.

Katanya, ini jelas terbukti dengan kehadiran mereka ini di Hotel Sheraton pada malam tercetusnya krisis yang dialami sekarang.

“Kami percaya, menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan sama seperti merampas suara rakyat dan tidak menghormati asas demokrasi di Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi Raja Berpelembagaan,” kata kenyataan itu.

Katanya lagi, atas semangat PKR dan taat setia kepada parti dan presiden parti, cabang berkenaan akan terus menyokong prinsip keadilan dan reformasi dengan tuntas.

“PKR Cabang Kota Raja akan terus bekerjasama dengan saf kepimpinan PH Kota Raja iaitu Parti DAP dan juga AMANAH.

“Kami akan terus bekerja kuat untuk berkhidmat dan mempertahankan mandat rakyat,” kata kenyataan itu lagi.