Malaysia Dateline

PKR Cabang Mukah tetap teguh bersama kepimpinan presiden

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Mukah bersama dengan Ketua-Ketua Ranting semalam telah mengambil ketetapan untuk menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Presiden dan Larry Sng sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.

Menurut Ketua Cabang PKR Mukah, Abdul Jalil Bujang, mesyuarat turut menggesa kepimpinan tertinggi parti agar tidak berganjak daripada ketetapan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia, jika PH Plus dapat menggembalikan mandat rakyat dan memimpin semula pemerintahan negara.

“Menyedari hakikat PKR adalah sebagai sebuah parti kepelbagaian, kami tetap bersedia menerima sesiapa sahaja ahli parti yang layak dan komited untuk menjayakan agenda untuk diangkat sebagai pemimpin melalui saluran yang sah berdasarkan perlembagaan parti tanpa mengira asal keturunan, kebudayaan dan kepercayaan,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli MPN Sarawak.

Abdul Jalil berkata, terdapat adanya usaha untuk meruntuhkan PH dengan memecahkan PKR yang menjadi tunjang kepada kekuatan komponen itu.

“Oleh yang demikian PKR Mukah menyarankan supaya setiap ahli untuk berdiri teguh, bersatu dan terus mengukuhkan parti di samping mendapat maklumat yang sahih mengenai perkembangan parti.

“Untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka akan menggabungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tahun ini, kami sudah bersedia dengan jenteranya dan berharap setiap ahli akan sedaya-upaya membantu di kawasan masing-masing.

“Justeru, untuk terus relevan dan maju, setiap ahli diseru untuk meningkatkan tahap ekonomi dan memberi perhatian kepada pendidikan diri dan generasi muda supaya menjadi seorang yang memiliki pengetahuan,” tegas beliau.