Malaysia Dateline

PKR Cabang Sadong Jaya sokong pelantikan Larry Sng

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batang Sadong menyokong dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien yang juga Ketua Cabang Julau kerana dipilih sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang ke-8 Khamis lalu.

Ketua Cabang PKR Sadong Jaya, Piee Ling berkata, pemilihan tersebut adalah hasil konsultansi Ketua-Ketua Cabang yang hadir pada mesyuarat bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac 2020 lalu.

Jelasnya, pemilihan Larry amat tepat pada masanya setelah berlaku kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Pengerusi MPN Baru Bian selepas mengisytiharkan keluar parti semasa kemuncak pergelutan politik tanah air yang dikenali ‘Langkah Sheraton’ hujung Febuari lepas.

“Turut mengisytiharkan keluar parti adalah Ali Biju dan Willie Mongin. Ketiadaan mereka bertiga membuka ruang kepada Larry dipilih secara majoriti oleh Ketua-Ketua Cabang.

“Larry merupakan pilihan yang tepat berdasarkan latar belakang dan pengalaman beliau yang pernah menjadi menteri muda semasa bersama Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Adalah menjadi harapan dengan pengalaman yang ada itu, beliau mampu membawa Parti Keadilan Rakyat Sarawak ke arah persediaan yang rapi untuk menghadapi PRN yang dijangka diadakan hujung tahun ini,” kata Piee dalam satu kenyataan di Kuching semalam.

Beliau menambah, sebagai parti pelbagai kaum, pemilihan Larry adalah berdasarkan merit.

“Gabungan beliau (Larry) bersama Abang Zulkifli Abang Engkeh sebagai Timbalan Pengerusi pasti memantapkan lagi pergerakan parti.

“Saya mewakili akar umbi PKR Cabang Batang Sadong akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi MPN Ke-8 ini dan barisan kepimpinan MPN yang lain.

Sebagai rekod, Pengerusi sebelum ini adalah Yusuf Abdul Rahman (1999), Datuk Sri Hafsah Harun (1999-2004), Wan Zainal Abidin Wan Senusi (2005-Julai 2007), Dominique Ng Kim Ho (2007-2010), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Jan 2011), Mustafa Kamal Ayub (Jun 2011), Baru Bian (2012- Februari 2020).