Malaysia Dateline

PKR Cabang Santubong agih bantuan awal kepada mangsa kebakaran

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Santubong hari ini menyampaikan sumbangan awal bantuan kepada mangsa tragedi kebakaran di Kampung Bintawa Hulu, Kuching.

Menurut Bendaharinya, Faizul Ahmat, bantuan tersebut merupakan barangan asas selepas seramai 35 penghuni tujuh buah rumah kehilangan sehelai pinggang dalam insiden kebakaran yang berlaku malam kelmarin.

Katanya, beliau dan Ketua Angkatan Muda PKR Zairul Oli telah mewakili Ketua PKR Cabang Santubong, Ahmad Nazib bagi menyampaikan sumbangan berkenaan kepada semua mangsa.

“Alhamdulilah…kita telah menyampaikan bantuan awal kepada mangsa-mangsa kebakaran berupa keperluan dan makanan asas.

“Semoga bantuan ini akan dapat meringankan beban mereka lebih-lebih lagi insiden yang berlaku itu menyebabkan mangsa-mangsa ini hilang sehelai sepinggang,” ujarnya.

Faizul berkata, PKR Cabang Santubong turut mendoakan semoga semua mangsa tabah menghadapi ujian sekali gus mampu berusaha membina kehidupan baharu nanti.

Sebelum itu, dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Bintawa Hulu, seramai 35 penghuni hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka musnah yang membabitkan tujuh buah rumah awal pagi kelmarin.

Selain tujuh buah rumah, turut terbakar ialah tiga buah kereta dan tujuh motosikal.

Bagaimanapun, tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.