Malaysia Dateline

PKR Cabar Muhyiddin buktikan status pendaftaran Perikatan Nasional

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) kepada umum, susulan dakwaan parti itu masih belum berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan yang bertanding di bawah tiket parti itu, sekiranya benar dakwaan yang tersebar ketika ini.

“Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara.

“Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah disisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri.

“Sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa sehingga ke saat ini parti diterajui Muhyiddin itu gagal berdaftar dengan ROS.

Beliau turut menyarankan agar semua calon yang bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah di atas bendera PN perlu dibatalkan.