Malaysia Dateline

PKR dakwa DAP Sarawak enggan bincang rundingan kerusi secara terbuka

PKR Sarawak mendakwa DAP negeri itu enggan berunding secara terbuka dengan pimpinan Pakatan Harapan berhubung dengan rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Majlis Pimpinan PKR negeri berkata, selama berbulan-bulan mereka cuba bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak, tetapi berhadapan dengan penolakan kosong.

“Kami telah menjelaskan bahawa berikutan pemergian bekas Pengerusi Keadilan, Larry Sng pada Februari 2021, sebarang perjanjian peribadi yang dibuat oleh beliau dengan DAP Sarawak adalah terbatal dan tidak sah kerana ini dilakukan secara persendirian tanpa pengetahuan dan persetujuan pemimpin dan akar umbi Keadilan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKR juga mendakwa, sejak awal 2020 parti itu telah mengenal pasti calon Dayak yang berpotensi tinggi di DUN Kemena kerana terlibat denga pelbagai aktiviti kebajikan komuniti dan bantuan yang meluas di seluruh Kemena semasa pandamik Covid-19.

Pada asalnya kerusi Kemena adalah kerusi PKR tetapi dipinjamkan kepada DAP pada pilihan raya
2016 yang kemudiannya menyaksikan DAP tewas.

Selain itu PKR mendakwa, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak juga enggan membaca dan meneliti fakta tentang calon yang dibentangkan kepadanya.

“Apa yang lebih membingungkan ialah Pengerusi PH
sendiri enggan memberitahu kami siapa yang dicadangkan sebagai calon DAP di Kemena.

“Sepanjang pengetahuan kami, tidak ada calon DAP memimpin akar umbi yang bergerak aktif di Kemena selama 3 tahun yang lalu,” katanya lagi.