PKR dakwa KM Melaka enggan jawab isu rasuah kerana takut

PKR dakwa KM Melaka enggan jawab isu rasuah kerana takut

Parti Keadilan Rakyat Negeri Melaka mengecam tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka menghalau Ketua Pembangkang, Khoo Poay Tiong keluar daripada dewan kerana mengajukan soalan kepada Ketua Menteri berkaitan status pegawai beliau dan projek yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata keengganan Idris Haron menjawab soalan membuktikan beliau cemas dan takut dengan pendedahan rasuah melibatkan pegawai beliau.

“Jawapan beliau yang kononnya tidak tahu projek apa yang disiasat ternyata sukar untuk diterima oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Keadilan Melaka juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Khoo kerana berjaya membawa isu rasuah kerajaan negeri ke Persidangan Dun Melaka kali ini.

Isu rasuah membabitkan Idris Haron melalui pegawai beliau pernah dibangkitkan sebelum ini oleh PKR melalui satu kenyataan media bertarikh 10 Januari 2017 mengalu-alukan tindakan SPRM membuat “serbuan” di Pejabat Ketua Menteri.

Shamsul juga berkata, adalah mustahil Idris tiada maklumat mengenai projek yang disiasat oleh SPRM sedangkan Timbalan Ketua Pengarah Operasi SPRM Datuk Azam Baki sendiri mengeluarkan kenyataan mengesahkan Idris disiasat bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pegawai beliau yang ditahan SPRM pada November tahun lalu.

“Tindakan YB Speaker Dun menghalau Ketua Pembangkang Melaka keluar dari dewan menunjukkan sikap tidak matang, tidak terbuka dan tidak demokratik walhal isu rasuah yang ditanya pastinya perkara berkepentingan awam,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Menurut beliau, tindakan speaker itu juga boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk melindungi Idris daripada terus dihujani dengan pelbagai soalan yang diajukan kepada beliau berkaitan isu rasuah kerajaan negeri.

“Tindakan ini hampir sama dengan apa yang berlaku di dewan rakyat apabila perdana menteri berselindung di belakang speaker untuk mengelak daripada menjawab isu 1MDB,”

“Apakah Idris Haron takut untuk memberikan jawapan kerana bimbang sudah berada di bawah radar SPRM? Desas-desus kuat mengatakan Idris bakal dikenakan tindakan oleh pihak SPRM,” katanya yang juga ahli parlimen Bukit Katil.

Keadilan Melaka juga mendesak Idris dengan penuh akauntabiliti menjawab segala persoalan mengenai rasuah yang telah dibangkitkan sebelum ini tanpa mencipta pelbagai alasan.

TAGS