Malaysia Dateline

PKR, DAP, AMANAH tidak berwajahkan kepimpinan Islam, kata Abdul Hadi

Pas menyifatkan tiga parti di dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan AMANAH tidak berwajahkan kepimpinan orang Islam dan ianyanya berbeza dengan parti Bersatu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam kerajaan hanya parti Bersatu sahaja parti Melayu Islam yang mempertahankan Islam.

“Suasana politik hari ini berbeza bukan macam 13 Mei. Di dominasi bukan Islam dan PH menang dengan parti Melayu Islam duduk dalam parti pelbagai kaum.

“PKR, DAP dan PAN tidak berwajah kepimpinan orang Islam, Bersatu kedudukan tidak kuat, saya tahu Tun mempertahankannya.

“Oleh sebab itu kita mengambil sikap yang sama dengan Umno mempertahankan Tun jadi PM sehingga habis penggal itu pendirian kita.

“Bila nak buat pilihan raya terpulang kepada dia tetapi biar habis penggal, penyatuan orang Melayu Islam sangat penting,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam masa yang sama Pas tidak mengenepikan orang bukan islam dengan mengambil kira parti bukan Islam yang bukan ekstrem seperti MCA, MIC, PBS yang agak sikap terbuka yang boleh diterima.

Abdul Hadi berkata demikian, apabila diajukan pertanyaan berhubung kerjasama Pas Umno yang akan dimeterai pada 14 September ini di PWTC, Kuala Lumpur.

Terdahulu menjawab pertanyaan media, Abdul Hadi turut mencadangkan agar AMANAH menggunakan simbol DAP di dalam PRU akan datang

“PKR parti pelbagai kaum, PAN (AMANAH) pula lebih kepada DAP. Sebab itu saya cadangkan supaya PAN guna simbol DAP pada PRU akan datang. Pakai simbol DAP sambung talian hayat dia, itu lebih baik,” kata Abdul Hadi di sidang media Rusila hari ini yang disiarkan di facebooknya.