PKR, DAP lupa jasa Pas, dakwa anak Abdul Hadi

PKR, DAP lupa jasa Pas, dakwa anak Abdul Hadi

Selepas Dewan Pemuda Pas galak mendesak parti itu mengakhiri tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR, ketua baharu sayap parti itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa jasa Pas tidak diingati.

Sebelum ini, Pas pada perhimpunan agung tahunannya kali ke-61 pada 2015 telah bercerai talak tiga dengan DAP.

“Realiti yang berlaku ialah sebahagian kerusi yang dipertandingkan memang jentera Pas dipergunakan.

“Pemimpin PKR dan DAP yang bertanding setelah mereka menang di sesetengah tempat mereka melupakan jasa Pas,” katanya dalam wawancara khas yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Ditanya apa yang menjadikan hubungan dengan PKR merugikan Pas dari segi politik, anak Abdul Hadi itu menganggap PKR sebagai parti yang cenderung mengambil kesempatan.

“PKR ini parti oportunis. Mereka hanya melihat kepentingan sendiri sahaja, bagi kita Pas mengutamakan kepentingan Islam,” tegasnya.

Beliau turut bersetuju dengan soalan wartawan akhbar pro Umno-BN itu bahawa gesaan perwakilan supaya kerjasama politik dengan PKR dihentikan sebagai isyarat mereka tidak mahu Pas diperkotak-katikkan dan dipermainkan lagi.

“Ya, memang saya setuju dengan apa yang disebut ini,” ujarnya sambil menekankan tahaluf siyasi sebagai strategi yang boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Bahkan, Khalil berterus-terang berkata, Pas rugi sepanjang tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ekoran jumlah kerusi dimiliki Pas yang paling corot berbanding kedua-dua parti itu.

Walaupun banyak pihak menjangkakan kemungkinan Pas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum akan datang, Khalil pula berpendapat sebaliknya.

“Mereka (pengundi Melayu) kini menganggap Pas sebagai sebuah parti yang memiliki sikap serta pendirian jelas dan tegas berbanding parti-parti lain,” katanya lagi.