Malaysia Dateline

PKR dapat agihan kerusi Parlimen paling banyak untuk PRU14

Pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) malam tadi telah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi Parlimen untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti untuk Semenanjung Malaysia dalam satu rundingan yang selesai kira-kira jam 8.30.

Dalam rundingan berkenaan PKR bakal mendapat kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti komponen lain dalam PH iaitu, PKR, DAP, Bersatu dan AMANAH.

Menurut laporan Malaysian Insight, persetujuan yang dicapai menetapkan PKR akan bertanding 51 kerusi, Bersatu 52, DAP 35 dan AMANAH 27. Jumlah kerusi Parlimen untuk dipertandingkan di Semenanjung Malaysia ialah 165.

Dengan mengambil kira kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, PKR mendapat agihan paling banyak,

Butiran keputusan kata sepakat berkenaan akan diumumkan pada Konvensyen PH di Shah Alam hari ini.

Dalam rundingan itu juga, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dinamakan sebagai calon perdana menteri PH sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan pula diumumkan sebagai timbalan perdana menteri.

Cadangan menggandingkan Dr Mahathir dan Wan Azizah sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri mula timbul dalam pemukiman PH pada 1 dan 2 Disember yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat dimuktamadkan kerana PKR mahu membincangkannya terlebih dulu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah sudah menyetujuinya, menurut laporan tersebut.