Malaysia Dateline

Timbalan Speaker yang tolak usul kosongkan jawatan, kata PKR

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendedahkan surat yang diterimanya dari pejabat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menolak usul beliau agar kerusi Speaker dikosongkan.

Pendedahan itu dibuat selepas Datuk Azhar Azizan Harun pada semalam menafikan pihaknya menolak 15 usul yang dibawa Ahli Parlimen dan menegaskan tidak pernah campur tangan atau mengambil bahagian berhubung usul pertukaran jawatan Speaker.

“Usul saya untuk menyingkirkan Azhar telah ditolak oleh Rashid.

“Kedua-dua surat tersebut diemel kepada saya oleh kerani Dewan pada 30.8.2021,” ciapnya di Twitter malam tadi.

Dalam ciapan sama, Fahmi juga mendakwa usul dikemukakan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, turut ditolak.

Penolakan disebabkan usul dikemuka Timbalan Presiden AMANAH itu tidak teratur kerana usul dibuat dengan merujuk kepada peruntukan undang-undang yang tidak tepat.

Sementara itu menerusi dua surat yang diemel kepada Fahmi, surat pertama adalah dari Azhar yang menyatakan oleh kerana usul tersebut berkaitan dirinya, beliau mengambil keputusan mengecualikan diri dari membuat apa-apa keputusan.

Surat kedua pula merupakan surat balas dari Mohd Rashid yang memberitahu bahawa usul dikemukakan Fahmi tidak teratur mengikut Peraturan Mesyuarat 4(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya juga mendapati usul Yang Berhormat tidak didahului oleh pemberitahu di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang merupakan syarat dalam mengemukakan usul.

“Oleh itu saya tidak dapat membenarkan usul Yang Berhormat ini dibawa ke Majlis Mesyuarat,” kata surat bertarikh 25 Ogos itu yang ditandatangani Mohd Rashid.