PKR digesa tangguh pemilihan parti selepas PRK Port Dickson

PKR digesa tangguh pemilihan parti selepas PRK Port Dickson

Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR digesa agar menangguhkan proses pemilihan parti sehingga selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Negeri Sembilan, kata Naib Presiden parti itu Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata penangguhan itu penting bagi menjamin akauntabiliti dan keberadaan semua pihak untuk berkubu di Parlimen Port Dickson tanpa menonjolkan atau mengecualikan mana-mana pihak daripada terlibat sama dalam kempen.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata muafakat dalaman PKR yang kukuh adalah penting bagi menghasilkan impak positif yang lebih baik buat parti pada PRK Port Dickson kelak.

“Ia sekali gus menjamin kemenangan selesa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat memimpin agenda refomasi institusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, bertanding dalam pilihan raya kecil.

Shamsul Iskandar berkata pengumuman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson dialu-alukan sebagai langkah awal permulaan bagi Anwar memimpin Pakatan Harapan melalui inisiatif refomasi Parlimen.

Katanya beliau yakin dengan pengumuman tersebut sebagai satu usaha yang wajar diraikan dalam keadaan Muafakat Pakatan Harapan dan persedian awal buat Anwar aktif kembali di kancah politik Malaysia.

“Usaha selama 20 tahun refomasi dan lima siri pilihan raya adalah satu fasa yang panjang memperlihatkan turun naik karier Anwar dan parti Keadilan (PKR), oleh itu usaha ini wajar didukung disebalik perbezaan pandangan yang timbul.

“Matlamat kita adalah jelas bagi menyubur dan menghidupkan agenda reformasi ke arah mengisi Malaysia Baharu,” katanya.

Pemilihan PKR bermula dengan penamaan calon pada 27 hingga 29 Julai lepas, sebelum pengundian selama sembilan minggu bermula 24 Ogos dan keputusan akan diumumkan ketika Kongres Nasional PKR dijadual pada November depan.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS