PKR disaran tidak harus kekalkan ‘virus’ dalam parti

PKR disaran tidak harus kekalkan ‘virus’  dalam parti

PKR tidak harus mengekalkan virus dalam parti tersebut kerana ia mampu mencalarkan imej parti dan memberi persepsi negatif komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Malah dengan mengekalkan virus-virus tersebut lambat laun ia akan melumpuhkan parti dan merosakkan keseluruhan organisasi setelah berjuang bermati-matian sejak 20 tahun yang lalu.

Demikian disarankan oleh Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder.

Bibi Faridah Ghulam Hydee

Beliau yang juga merupakan perwakilan semasa Kongres Nasional PKR yang diadakan di Melaka turut menzahirkan kebimbangan ekoran kemelut yang dilihat memberi banyak ruang kepada pembangkang untuk mengeksploitasi setiap isu yang berbangkit.

“Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus membiarkan virus dan kuman yang ada dalam parti bercambah dengan begitu pantas.

“PKR adalah sebuah parti yang ditubuhkan dengan pelbagai kedukaan dan duri yang penuh dengan ranjau.

“Perjuangan yang telah dilakari begitu lama sehingga mampu menjadi kerajaan kini seolah-olah cuba dipersia-siakan setelah wujudnya lambakan habuan yang terserlah dihadapan termasuklah dengan pelbagai jawatan samada di peringkat negeri maupun kabinet, ” ujarnya.

Tegas beliau lagi, PKR tidak harus kekalkan mana-mana pimpinan samada di peringkat negeri maupun pusat yang cuba menjadi ‘duri dalam daging’ sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti.

“Selaku perwakilan saya amat sedih apabila ada pimpinan parti yang tidak menghormati parti dan juga Presiden dengan pelbagai sikap biadap yang dipertontonkan.

“Sehubungan itu bagi menyelamatkan PKR agar tetap dihormati oleh kawan dan lawan, maka tindakan memecat keahlian mereka yang melanggar peraturan parti mesti dilaksanakan dengan tegas dan berani.

“Kini bukan lagi masa untuk berkompromi dan toleransi setelah adanya usaha melemahkan parti dan mencacatkannya dengan kebiadapan yang melampau sehingga memberi persepsi buruk PKR kepada komponen PH yang lain, ” tambah beliau.

Sejajar dengan itu, Bibi Faridah juga menyarankan Lembaga Disipilin PKR supaya bertindak segera dengan berani dan tegas tanpa takut terhadap siapa sahaja termasuk pimpinan tertinggi parti yang telah cuba merosakkan imej melalui pelbagai dakwaan, kutukan dan kritikan yang menjatuhkan nama baik PKR dan juga Presiden.

Kata beliau lagi, PKR dan PH memerlukan mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan untuk membela nasib rakyat dan bukannya mengekalkan mereka yang hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan, habuan dan laba sehingga sanggup memperlekehkan kebenaran sejarah perjuangan kewujudan PKR dan PH.