Malaysia Dateline

PKR gesa menteri berhenti pertimbang, tolak terus cadangan jual Lapangan Terbang Subang

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyatakan kebimbangannya terhadap cadangan pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) oleh ahli perniagaan yang juga hartawan hartanah, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon.

Beliau yang juga Jurucakap PKR bagi pengangkutan mempersoalkan, mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempertimbangkan cadangan dari WCT Holdings Bhd, meskipun terdapat bantahan jelas daripada pemegang taruh utama.

Ini susulan gesaan Kesatuan-kesatuan Pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada 21 Jun lalu supaya kerajaan membuat deklarasi terbuka bahawa pengambilalihan LTSAAS tidak akan berlaku.

“Menteri wajib menjawab pada peringkat dasar bagaimanakah cadangan pengambilalihan tersebut membawa manfaat kepada Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030?

“Saya menggesa kerajaan untuk menolak cadangan itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengawal pandemik.

“Penggantungan Parlimen tidak sewajarnya digunakan untuk mengambil kesempatan mengejar tawaran urusniaga yang kabur dan kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, isu pengambilalihan LTSAAS mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah oleh WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dilaporkan mahu mengambil alih lapangan terbang itu.

Bimbang sekiranya perkara itu berlaku, kesatuan pekerja MAHB merancang untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bagi menyatakan bantahan.

Sebelum ini, dilaporkan pengambilalihan itu akan mendatangkan kerugian dianggarkan hingga RM11.9 bilion yang akan melibatkan pendapatan pekerja, potensi kerugian pelaburan dan kerosakan yang mungkin ditanggung MAHB.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut mempersoalkan tentang ciri-ciri penting terma kepada cadangan pengambilalihan dan mempersoalkan mengapa tiada proses tender terbuka.

Tegasnya, kerajaan perlu bersikap telus berkenaan skop dan terma cadangan konsesi dan menjelaskan apa akan berlaku kepada status undang-undang MAHB dan kepentingan di LTSAAS.

“Memandangkan sidang Parlimen masih digantung dan pembukaan segeranya masih tidak menentu meskipun telah ada ingatan yang jelas daripada Agong, saya mencabar Menteri Pengangkutan dan Kerajaan PN untuk tampil memberi respon secara telus dan segera terhadap persoalan ini,” katanya lagi.