Malaysia Dateline

PKR gesa Parlimen teliti undang-undang penjagaan sungai, pembangunan bandar

PKR menegaskan kesan perubahan cuaca dunia dan kemunculan pelbagai wabak virus menuntut kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara maju lebih serius melaksanakan prinsip Urus Tadbir Sosial Persekitaran (ESG) sebagai dasar utama pembangunan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden hujan tanpa henti selama beberapa hari disusuli tanah runtuh dan banjir besar menjadi peringatan bahawa ‘perubahan iklim itu benar’ dan mampu mendatangkan kesan luar jangka, sama ada bagi pakar atau kerajaan.

“Melihat lumpur yang dimuntahkan bukit dan sungai membuktikan bukit kita semakin terhakis dan sungai kita semakin cetek, semuanya kesan aktiviti manusia yang jika tidak dikawal akan membawa padah dan malapetaka.

“Agar Malaysia tidak ketinggalan maka Parlimen perlu segera meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai, dan pembangunan bandar yang mampan untuk melihat jauh ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sidang khas Dewan Rakyat perlu diadakan bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan sejauhmana tahap kesiapsiagaan jentera kerajaan dalam menghadapi bencana banjir.

Menurutnya, insiden banjir dan tanah runtuh yang dilaporkan sejak minggu lalu, yang antaranya akibat aktiviti manusia, memerlukan Parlimen segera meneliti undang-undang sedia ada bagi mengawal dan mengelakkan bencana seumpamanya bertambah buruk pada masa depan.

“Kita membaca dan meneliti bagaimana tindakan segera kerajaan negeri tersekat akibat koordinasi lemah di peringkat pusat, walaupun aset dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersedia. Ini semua menjadi pengajaran buat kita.

“Saya menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan khusus untuk membahas isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan, demi semua ahli Keluarga Malaysia yang sangat terkesan,” kata Saifuddin lagi.