Malaysia Dateline

PKR hantar wakil ke Forum Khas mengenai Baitulmaqdis esok

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini melalui kenyataan rasminya bersetuju menghantar seorang wakilnya Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Gambar)  untuk menyertai satu forum khas diadakan pada Himpunan Solidariti Baitulmaqdis esok.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memaklumkan Biro Politik PKR amat membantah keras tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Ini ujarnya, sekaligus mengiktiraf bandar suci tersebut sebagai ibu negara Israel.

“Tindakan ini adalah keputusan sebelah pihak yang meranapkan proses perdamaian Israel-Palestin dan menghancur harapan pembentukan negara Palestin.

“Memandangkan isu ini berkait keadilan sejagat, hak asasi manusia serta kestabilan politik rantau Timur Tengah, maka Biropolitik PKR bersetuju menghantar seorang wakil, iaitu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail , menyertai satu forum khas tentang isu ini di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat, 22 Disember,” ujar kenyataan itu hari ini.

PKR juga menggesa Kerajaan Malaysia untuk terus meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Presiden Trump melalui saluran-saluran diplomatik dan ekonomi, serta menyatakan komitmen Malaysia untuk tidak terjebak ke dalam sebarang konflik ketenteraan di Timur Tengah.

Forum Khas itu dilaporkan  turut menjemput wakil daripada AMANAH dan Bersatu, namun Malaysia Dateline dimaklumkan mereka masih tidak menerima sebarang jemputan rasmi mengenai forum khas diadakan itu sehingga semalam.

Pimpinan PH antara enam panel yang akan menyertai forum diadakan Umno-Pas itu sebahagian daripada aturcara yang diadakan pada esok selain himpunan dan khutbah Jumaat mengenai isu Palestin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri.

Baca: Pimpinan Amanah, Bersatu nafi terima jemputan ‘panel’ forum khas berkaitan Baitulmaqdis