Malaysia Dateline

PKR jamin peralihan kuasa utama kepedulian rakyat

Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul memberitahu proses rundingan dan perbincangan dengan semua pihak masih berterusan demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu terus diperkukuh kerana mandat rakyat telah diberi kepada Ph dengan jelas pada PRU-14 lalu.

“Ini bukan pertarungan di kalangan elit politik untuk merebut kuasa, tetapi sebaliknya adalah usaha membawa agenda Reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat.

“Sebarang peralihan kuasa perlu berlaku sepertimana yang dijanjikan, berjalan dengan tertib dan aman, serta mengikut lunas undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan bersama 39 Ahli Parlimen PKR hari ini.

Beliau berkata kesemua Ahli Parlimen terbabit telah mengadakan satu pertemuan secara atas talian hari ini membincangkan usaha termasuk melipatgandakan usaha penelitian dan penggubalan dasar-dasar yang mengutamakan nasib rakyat.

Menurutnya, usaha tersebut sebagai keperluan untuk mengemaskini gerak langkah memperkukuh agenda Reformasi di dalam dan luar Parlimen.

“Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN diingatkan agar menitikberatkan kebajikan warga terutama yang terkesan akibat Covid-19 termasuk yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan, di mana usaha menyeluruh diperlukan,” katanya.

Dalam masa sama, kenyataan itu menyebut kesemua Ahli Parlimen PKR juga menekankan keperluan bermuhasabah dan meneliti usaha selama ini untuk menepati janji-janji yang dibuat serta mengelak dari mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah berlaku.