Malaysia Dateline

PKR jauhkan diri dari Iswardy Morni yang didakwa hina Agong

PKR menjauhkan diri mereka dari Iswardy Morni yang kini ditahan polis atas dakwaan menghina Yang Dipertuan Agong dan menganggap, kenyataan-kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian parti itu.

Menurut Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi PKR, mereka mengambil maklum sebuah video YouTube yang dimuatnaik seorang individu bernama Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

“KEADILAN mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hiraki pimpinan KEADILAN Sarawak mahupun Pusat,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut Fahmi, ucapan beliau di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik PKR, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.

Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama.

“Namun, oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia, KEADILAN akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau,” kata Fahmi.