Malaysia Dateline

PKR Johor mahu TMJ, Mahathir henti perbalahan di bulan Ramadan

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu menghentikan perbalahan pendapat secara terbuka lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini, kata Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim.

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Pasir Gudang berpendapat hubungan positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan Istana Johor akan banyak membantu dalam usaha membangunkan dan menyelesaikan masalah di negeri itu.

“Dr Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang yang bertaraf negarawan, tak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

“Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang karismatik, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hormat dalam kalangan rakyat jika terus-menerus menentang secara terbuka Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut usia,” katanya seperti dipetik FMT hari ini.

 Terbaru hari ini, Dr Mahathir menggunakan bahasa paling keras terhadap Tunku Ismail dengan menggelarnya “bodoh” dan “budak kecil”, sekali gus mengancam untuk menghangatkan lagi sengketa terbuka antara mereka berdua.
Perdana menteri membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan Tunku Ismail bahawa banyak jasa ayahnya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak didedahkan kepada umum.

TMJ sebelum itu berkata, keluarga diraja Johor menjadi mangsa serangan peribadi dan dikritik secara tidak adil berkaitan projek Sistem Aliran Transit.

Sabtu lalu, melalui aplikasi Twitter, Tunku Ismail menyenaraikan beberapa sumbangan Sultan Johor seperti program perumahan mampu milik, Rumah Impian Bangsa Johor, dengan tanahnya di Bandar Dato Onn di Mersing diberikan dan dibangunkan oleh Sultan Johor.

Dalam pada itu, Hassan sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-negeri dan Persekutuan menyeru supaya dibina hubungan yang baik antara kerajaan negeri Johor dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, beliau bersedia memainkan peranan sebagai jambatan perhubungan untuk tujuan itu.

“Johor mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar seperti Rapid Petronas di Pengerang, Koridor Ekonomi Iskandar Malaysia, projek keretapi RTS menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands di Singapura, projek keretapi laju (HSR) antara Kuala Lumpur dengan Singapura serta projek landasan keretapi elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru.

“Hubungan peribadi yang baik antara Dr Mahathir dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim akan memudahkan kerajaan negeri dan menteri besar serta Jemaah Exco yang baru dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.

Hubungan antara Putrajaya dengan Istana Johor tegang sejak kebelakangan ini berkaitan beberapa isu seperti ratifikasi Statut Rom, peletakan jawatan menteri besar Johor, Osman Sapian dan cadangan mengganti perdana menteri.