PKR Johor sokong wujudkan biasiswa Bangsa Johor

PKR Johor sokong wujudkan biasiswa Bangsa Johor

Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor hari ini menyatakan persetujuan terhadap cadangan mengadakan biasiswa Bangsa Johor oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub.

Setiausaha PKR Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar hari ini menyatakan sokongan asalkan ianya terbuka kepada semua tanpa mengira kaum dan benar-benar sampai kepada sasaran individu yang perlu dibantu.

“Kami bersetuju dengan cadangan tersebut asalkan ianya terbuka pada semua tanpa mengira kaum dan ia mestilah benar-benar sampai kepada individu yang terlalu memerlukan,” ujarnya.

Pengerusi PKR, Hassan Karim pula menyatakan bahawa biasiswa adalah baik untuk rakyat negeri Johor menikmatinya.

“Saya bersetuju kerana ia penuh dengan kebaikan apatah lagi jika ia dapat membantu golongan yang memerlukan dan dalam masa yang sama pencapaian pendidikan mereka itu baik,” ujarnya.

Menurut setiausaha PKR itu lagi, kerajaan Negeri Johor juga berpeluang untuk mendapatkan dana dari segi pembangunan yang sedang pesat di negeri ini sseperti Forest City serta dana itu boleh dijadikan tabung untuk biasiswa.

“Dalam masa yang sama satu tabung khas perlu juga untuk pelajar-pelajar luar bandar dan dana hasil cukai Forest City boleh diagihkan ke tabung khas tersebut sebagai tampungan dana untuk biasiswa Bangsa Johor,” ujarnya.

Salahuddin pada Sabtu  berkata, Pakatan Harapan akan merangka pelan induk pendidikan yang lengkap bagi meningkatkan keupayaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memberikan lebih banyak biasiswa kepada anak-anak bangsa Johor.

Langkah ini ujarnya, berikutan pihaknya menerima banyak maklumat daripada ibu bapa mengenai kesukaran mendapatkan bantuan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara dari YPJ mutakhir ini.

Artikel Berkaitan: Wujudkan biasiswa Bangsa Johor

TAGS