Malaysia Dateline

PKR Kedah tuntut Adun Lunas, Sidam bayar RM10 juta

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah menuntut dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah mengisytihar keluar parti hari ini agar membayar RM10 juta seperti perjanjian yang ditandatangani menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) telah berikrar dan menandatangani dokumen jika keluar parti mereka akan berhadapan dengan tindakan.

“PKR akan membuat tuntutan sebanyak RM10 juta setiap orang atas pengkhianatan yang mereka lakukan hari ini.

“Kepada mereka bersedialah untuk berhadapan dengan situasi ini kesana hal ini telah saudara janjikan untuk berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya dalam satu sidang media hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menyifatkan pengkhianatan oleh kedua-dua ADUN yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebagai mementingkan diri.

“Sudah tentu pengkhianatan yang saudara lakukan hari ini membuktikan saudara mementingkan diri lebih daripada perjuangan parti yang telah kita lalui sekian lama sejak hampir 22 tahun lalu,” ujarnya.

Dalam masa sama, kepimpinan parti di peringkat negeri, jelasnya, telah menjangkakan tindakan kedua-dua ADUN terbabit ekoran dilihat sentiasa bersama Azmin Ali setelah bekas Timbalan Presiden PKR itu mengumumkan keluar parti dan menyertai PN.

“Kami telah jangka mereka akan mengikut jejak langkah yang telah diambil oleh Azmin dan kawan-kawannya,” kata beliau lagi.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada pengundi di Lunas dan Sidam bahawa kebajikan mereka tidak akan PKR abaikan.

“Lihatlah apa yang telah dan sedang berlaku maka kita akan buat keputusan yang terbaik pada masa akan datang,” tambahnya lagi.