Malaysia Dateline

PKR Kelantan terus kekal sokong Anwar

Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan terus kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Mohamad Suparadi Md Noor berkata, ketetapan terhadap tokoh yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian itu diputuskan dalam mesyuarat khas Pimpinan Keadilan Negeri Kelantan semalam.

“Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau (Anwar) jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

“Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama dengan Ketua Wanita PKR negeri, Naziratul Aini Muhamad Sayuty dan Ketua AMK, Muhd Hafiz Muhd Kasasi mereka menyatakan akan terus memantau peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan agar agenda reformasi negara dapat di realisasikan.

“Kami menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14,” kata kenyataan bersama itu lagi.