Malaysia Dateline

tian chua

PKR kesal Pas lancar jentera p’raya di Permatang Pauh, anggap provokasi

Naib Presidennya Tian Chua berkata, tindakan Pas itu merupakan satu provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pendirian Pas yang berikrar ingin menawan Permatang Pauh akan dipandang seolah-olah parti-parti pembangkang bercakaran sesama sendiri.

“Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap ia masih sebahagian dari pihak pembangkang yang ingin mengalahkan Umno-BN pada PRU14 kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad melancarkan jentera parti dalam program di Kubang Semang yang dihadiri kira-kira 500 ahli dan penyokong Pas

Yang dipertuanya, Omar Hassan dalam ucapannya meminta kepimpinan Pas membenarkan mereka bertanding di kerusi itu.

Tian Chua yang juga ahli Parlimen Batu berkata, jika Pas bersungguh-sungguh menentang korupsi dan kezaliman Umno-BN, kepimpinannya harus menghentikan segala tindakan yang mencabar kesabaran PKR.

Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi Parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan Reformasi sejak PRU 1999

Sejak itu, Parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak 6 kali dalam pilihan raya umum dan kecil.

“Sudah tentu PKR sanggup mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri,” tegasnya.