PKR komited kepada usaha kukuhkan PH

PKR komited kepada usaha kukuhkan PH

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan ringkasnya menjelaskan,  Biro Politik PKR yang telah mengadakan mesyuarat mingguannya petang ini telah membuat ketetapan bahawa parti itu komited kepada usaha mengukuhkan Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ia susulan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini, yang menjelaskan sebab ketidakhadirannya dalam mesyuarat Biro Politik parti itu dan sehingga timbulnya cadangan agar diadakan Kongres Khas untuk wujudkan kerjasama PKR-Pas.

Rafizi menjelaskan isu ketidakhadirannya ke mesyuarat Biro Politik PKR digunakan sebagai alasan kononnya beliau tidak mengetahui keputusan berunding dengan Pas adalah keputusan parti yang diputuskan oleh Biro Politik PKR.

Katanya, beliau telah membuat keputusan untuk tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik sejak Ogos 2016 selepas jelas perbezaan pendapat di Biro Politik yang berpanjangan akan membantutkan persediaan parti menjelang PRU14.

Ia berikutan rentetan peristiwa-peristiwa berikut seperti yang dinyatakan Rafizi:

1.Pertembungan 3 penjuru di pilihanraya Sarawak (Mei 2016) walaupun keputusan Biro Politik adalah jelas mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH pada ketika itu dan ditandatangani sendiri oleh Timbalan Presiden parti

2.Tindakan melengah-lengahkan penyertaan PH di dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ke saat akhir sehingga beliau terpaksa mengeluarkan satu Pekeliling Setiausaha Agung mengarahkan jentera parti turun membantu jentera PH (dari AMANAH dan DAP ketika itu) tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba.

Rafizi turut menerangkan sejak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, keputusan di peringkat Biro Politik menjadi sukar untuk dicapai bila ada perbezaan pendapat.

“Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali (seperti yang berlaku dengan keputusan perletakan jawatan pimpinan parti di dalam Kerajaan Kelantan). Akibatnya mesyuarat Biro Politik menjadi tempat polemik politik yang berpanjangan tanpa menghasilkan gerakan yang berkesan di bawah.

“Keadaan ini semakin menjadi-jadi dalam isu yang paling sensitif iaitu kerjasama dengan Pas kerana ia melibatkan Kerajaan Selangor. Oleh kerana pandangan Timbalan Presiden ialah untuk terus membuka pintu kepada PAS sehingga ke saat akhir untuk memastikan kemenangan di Selangor, sebarang langkah yang dilihat tidak disukai oleh Pas ditolak.

“Maka keputusan untuk menubuhkan Pakatan Harapan (yang mana saya menjadi tulang belakangnya sebagai Setiausaha Agung pada ketika itu) melebarkan lagi perbezaan pendapat antara saya dan Timbalan Presiden. Peristiwa-peristiwa di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah berpunca dari pandangan yang mengaitkan sebarang inisiatif yang membabitkan Pakatan Harapan akan menguntungkan saya secara politik, maka ia tidak wajar disokong.

“Menyedari hakikat ini, selepas kekalahan di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar/Kuala Kangsar, saya tahu bahawa masa dan tenaga saya lebih baik digunakan untuk berkempen di bawah daripada bertempur di dalam bilik mesyuarat yang tidak berkesudahan.

“Seawal Ogos 2016, saya tahu kemungkinan besar saya akan dijatuhkan hukuman penjara kerana saya didakwa di bawah Akta OSA pada April 2016, maka saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Agung kepada Datuk  Saifuddin Nasution Ismail apabila dijatuhkan hukuman kerana pertukaran itu tidak menimbulkan kontroversi di mata rakyat.

“Sebab utama keputusan itu (selain dari soal dijatuhkan hukuman) ialah kerana saya percaya tenaga dan masa saya lebih baik digunakan untuk memastikan kempen dan persediaan Keadilan /PH di kerusi-kerusi penting (kerusi marginal yang kalah tipis) berjalan baik; daripada dihabiskan di dalam pertempuran politik di atas.

“Tambahan pula, Datuk  Saifuddin Nasution Ismail adalah orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga diplomat Keadilan di dalam Pakatan Harapan yang paling kanan (sejak Pakatan Rakyat lagi).

“Maka saya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab menyediakan jentera dan kempen pilihanraya di kerusi-kerusi marginal yang saya telah usahakan melalui Iinvoke sejak Ogos 2016 lagi,” terangnya.

{loadposition myposition} Rafizi turut berkata, segala tindakannya itu dimaklumi Presiden dan Ketua Umum PKR.

“Mereka memahami keadaan pada ketika itu dan kami menyesuaikan aturan menguruskan parti dan memimpin kempen rakyat untuk memastikan kompromi itu membuahkan hasil kepada rakyat dan parti: iaitu sedang Timbalan Presiden diberikan peluang mengusahakan satu muafakat dengan Pas untuk mencari jalan satu lawan satu, saya pula diberikan peluang membina kempen di bawah di kerusi-kerusi marginal melalui Invoke.

Saya memberikan laporan dan maklumbalas kepada Presiden dan Setiausaha Agung setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kami. Saya juga adalah perunding yang mewakili Keadilan  dalam merundingkan kerusi di peringkat Pakatan Harapan.

Maka sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan Presiden, Setiausaha Agung (dan Pengarah Pilihanraya Sdri Nurul Izzah, pada masa yang melibatkan pilihanraya) setiap minggu. Namun, saya juga tahu bahawa di saat akhir menjelang PRU14 ini, saya tidak nampak bagaimana Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat boleh mencapai persetujuan yang mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan Pas.

“Sebab itu saya mengutarakan bahawa cara paling baik ialah dengan menyerahkannya kembali kepada akar umbi melalui Kongres Khas,”terangnya.

Bagaimanapun pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan terhadap kerjasama PKR-Pas ini dimuktamadkan hari ini melalui mesyuarat yang diadakan lewat malam semalam.

Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP,AMANAH dan Bersatu mengambil pendirian bahawa Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam PRU14 dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru.

CATEGORIES
TAGS