PKR layak diberi lebih kuota Exco di Kedah, kata Mukhriz

Mukhriz ketika hari pertama memasuki pejabat MB.

PKR secara automatik layak menerima kerusi exco yang lebih banyak di negeri Kedah memandangkan parti tersebut mendapat kerusi terbanyak dalam kemenangan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kelmarin.

Jelas beliau lagi, PKR memperolehi lebih kuota bagi mengisi kerusi exco kerana mereka memenangi tujuh kerusi Dun.

Manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi hanya lima kerusi serta AMANAH empat kerusi dan DAP hanya dua kerusi.

“Perubahan yang akan dibuat ialah melantik 10 anggota exco berbanding sembilan sebelum ini.

“Portfolio bagi setiap exco juga sedang diberi perhatian serius sebelum pelantikan dibuat.

“Bagi kerusi Speaker dan Timbalan Speaker juga akan dilaksanakan dengan segera dan disusuli dengan majlis angkat sumpah jawatan, ” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, perbincangan dengan pembangkang akan diteruskan supaya ada kerjasama bagi menguruskan pentadbiran negeri.

“Adalah diharapkan dengan kerjasama yang terjalin nanti, ia dapat mengurangkan polemik politik yang ada.

“Isu politik tidak lagi perlu dipanjangkan dan tumpuan harus diberikan kepada khidmat untuk rakyat Kedah.

“Kerjasama wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dapat melancarkan lagi pentadbiran dengan mengutamakan keperluan rakyat,” tegasnya.

Tambahnya lagi, agak rumit kerana kedudukan kerajaan adalah 18 kerusi dan pembangkang juga 18 kerusi.

“Walau bagaimanapun alternatif yang terbaik akan dicari bagi menyelesaikan setiap permasalahan sekiranya ada.

“Kini sudah tiba masanya untuk semua pihak bekerjasama untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Sepanjang dua tahun yang lalu kita telah pun memberi tumpuan yang begitu lama terhadap isu politik, maka kini memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat harus menjadi keutamaan,” katanya lagi.

CATEGORIES