PKR mahu gaji minimum Semenanjung, Sabah, Sarawak selaras

PKR mahu gaji minimum Semenanjung, Sabah, Sarawak selaras

PKR kecewa dengan kadar pelaksanaan gaji minimum yang berbeza di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mempersoalkan tindakan itu yang disifatkan tidak seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, selepas 53 tahun Sarawak diperintah Barisan Nasional (BN) rakyatnya berhak untuk mendapat akses infrastruktur sama seperti Semenanjung.

“Kekecewaan kita adalah kami menuntut tidak ada perbedaan dan jurang antara gaji minimum di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kita adalah dalam satu negara dan tidak sepatutnya diturunkan nilai pekerja di mana-mana wilayah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, lapor Selangorkini.

Melalui Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia sementara RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kata Tian, PKR tidak pernah mempertikaikan kuasa dan hak Sarawak sebaliknya mempertahankan serta mahu autonomi dipertingkatkan. Ini sekaligus menjawab tuduhan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sentimen mengatakan PKR tidak menghormati Perjanjian Malaysia sering digunakan sedangkan mereka mahukan penyatuan ketiga-tiga wilayah itu.

“PKR tidak pernah mempertikai hak, kuasa Kerajaan Sarawak dalam isu imigresen, penawaran tenaga kerja dan pentadbiran negeri.

“Malah kita sentiasa pertahankan supaya autonomi dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 ini dipertingkatkan dan kekayaan royalti minyak dinaikkan sehingga 20 peratus,” katanya.

PGM 2016 bakal berkuatkuasa mulai 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

TAGS