Malaysia Dateline

PKR mesyuarat khas esok susulan insiden berulang bekalan air

Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat khas esok susulan lebih 1 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan Lembah Klang terkesan sekali lagi dengan gangguan bekalan air.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat pada hari esok antara lain akan meminta laporan penuh berkenaan isu tersebut untuk dibentangkan dan akan dibincangkan dengan teliti.

“Biro Politik KEADILAN akan mengadakan mesyuarat pada hari esok dan antara lain akan meminta laporan penuh berkenaan isu ini dibentang dan dibincangkan dengan teliti.

“KEADILAN memandang serius isu gangguan bekalan air yang sering berulang ini, dan pihak kerajaan negeri serta agensi-agensi terbabit perlu menanganinya pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebanyak 1.13 juta akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat insiden pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, buat masa ini, usaha bagi mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ telah dilaksanakan di Sungai Selangor oleh pihak terlibat.

Tengah hari tadi, LUAS menerusi kenyataannya memaklumkan wujudnya pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang sehingga jam 12.45 tengah hari tadi.