PKR minta semua pihak bekerjasama hadapi banjir di Pulau Pinang

PKR minta semua pihak bekerjasama hadapi banjir di Pulau Pinang

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan banjir yang berlaku di Pulau Pinang kini, yang merupakan kesan fenomena taufan Damrey yang melanda pulau itu, sebagai sangat buruk.

Ekoran itu, beliau menggesa semua anggota dan jentera PKR serta Pakatan Harapan dari negeri-negeri lain untuk turun membantu warga Pulau Pinang mengatasi masalah banjir yang cukup teruk ini, terutama dalam proses pemindahan penduduk serta pembersihan yang akan dilakukan kelak.

Beliau juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua anggota PKR dan Pakatan Harapan, JKKK dan para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus membantu sejak tengah malam tadi hingga sekarang.

“Saya berdoa agar Allah SWT memberikan warga Pulau Pinang kesabaran dan kekuatan pada ketika banjir melanda negeri tercinta kita ini. Saya turut berharap agar semua yang terkesan akan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan dan kebaikan diri serta keluarga.

“Saya berharap dengan segala usaha kita bersama, serta kerjasama daripada semua pihak, masalah banjir ini akan dapat kita atasi bersama dan usaha yang menyeluruh dapat dibuat untuk memastikan kejadian banjir sebegini dapat dikurangkan pada masa hadapan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam kenyataan medianya hari ini.