Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan beberapa laporan portal berita yang menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata laporan berita yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa Anwar akan menghadap Agong adalah tidak benar.
“Ini adalah berita tidak benar.
“Saya pohon kerjasama rakan-rakan media untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang tepat sebelum menyiarkan berita untuk mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham,” katanya.
Dilaporkan pihak istana telah memberikan perkenan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mengadap pada pukul 2.30 petang hari ini.
Sumber yang tidak dinamakan itu turut mendakwa pertemuan itu dijangka berlangsung di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Agong pada hari Khamis (29 Julai), melalui Istana Negara, secara terbuka menegur kerajaan kerana mengelirukan Dewan Rakyat dan bertindak tidak mengikut perlembagaan berhubung pembatalan ordinan darurat.
Agong juga menyatakan dukacita kerana ordinan darurat tidak dibentang dan dibahaskan di Parlimen.