Malaysia Dateline

PKR nafi ajak rakyat buat video pendek kritik kerajaan PN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan bahawa ada usaha untuk mengajak rakyat Malaysia supaya beramai-ramai menghasilkan video pendek bagi mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional seperti yang ditularkan baru-baru ini.

Ketua Penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu kenyataan berkata, dakwaan penyediaan dana atau habuan untuk video pendek dari rakyat itu adalah tidak benar.

“Ini kerana PKR tentunya tiada keupayaan kewangan seperti itu. Rakyat mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk berfikir secara rasional dan kritis.

“Apabila melihat kelemahan-kelemahan PN di dalam mengendalikan krisis yang mengancam negara dan nyawa rakyat, sudah pasti mereka akan menyuarakan kritikan,” katanya.

Tambahan pula katanya, apabila menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) menyuarakan sesuatu yang tidak masuk akal seperti meminum air suam akan membantu membunuh virus, atau saranan kementerian untuk para isteri membuat suara Doraemon, dan melakukan sanitasi jalanraya dengan membazirkan peralatan perlindungan diri.

Bukan itu sahaja menteri-menteri PN turut dikecam apabila mengajak mahasiswa bermain TikTok, atau yang terbaru tindakan Umno menyerang Dr. Musa Nordin

“Pasti rakyat tidak berdiam diri. Kita yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk mengkritik tindakan-tindakan yang memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka,” katanya.

Justeru, saya menyeru PN untuk bersikap positif menerima kritikan rakyat dengan hati dan minda terbuka.

“Cuba fahami kritikan-kritikan tersebut dan melakukan pembetulan-pembetulan perlu. Jangan menjadi terlalu sombong sehingga menganggap kerajaan tahu segala-galanya.

“Cubaan mengalihkan kritikan untuk menyerang saya dan KEADILAN sudah pastinya adalah lebih malang kerana pada saat ini kita harus memfokuskan kepada ikhtiar membendung penularan wabak dan menyelamatkan negara, bukan bermain politik,” ujarnya.

Katanya, PN harus insaf bahawa rakyat tidak lagi boleh dimomokkan dengan mantra “the government can do no wrong”.

Tegasnya, jangan memandang rendah kebijaksanaan rakyat, itu adalah amalan politik usang dan lapuk.

“Ini yang membezakan di antara kerajaan yang dipilih melalui mandat rakyat dengan kerajaan pengkhianat mandat rakyat.

“Kerajaan yang ditegakkan dengan mandat rakyat akan menerima rakyat sebagai “partners in struggle”, sementara kerajaan pengkhianat tanpa mandat akan melihat rakyat sebagai ancaman,” katanya.