Malaysia Dateline

PKR nafi keluarkan surat tolak calon PH di Semenyih

PKR menafikan pernah mengeluarkan surat yang mendakwa kononnya parti itu tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat Biro Politik PKR minggu ini juga tidak ada mengeluarkan sebarang arahan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menulis surat sebegitu.

“Saya juga sahkan bahawa tiada sebarang bantahan dari mana-mana cabang berkenaan PRK DUN Semenyih dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Surat ini berniat jahat, yang cuba mengadu-domba dan menanam syak wasangka dalam kalangan anggota PKR dan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar surat yang tular dalam media sosial hari ini menyatakan Biro Politik PKR setelah mengambil pandangan pimpinan parti di Hulu Langat telah memutuskan untuk tidak menyokong calon PH bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Surat yang menggunakan kepala surat PKR itu juga mengandungi tandatangan Saifuddin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata jika diperhati dengan lebih teliti, beberapa perkara termasuk nombor rujukan dan format surat itu juga berlainan daripada surat-surat rasmi.

“Saya simpulkan bahawa ini adalah kerja musuh politik yang sudah kehilangan modal dan tidak bermaruah,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PH, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.