Malaysia Dateline

PKR P.Pinang sokong kepimpinan parti dan PH

Pimpinan serta anggota PKR Pulau Pinang sentiasa memberi sokongan penuh kepada penyatuan serta kerjasama gabungan Pakatan Harapan (PH) samada di peringkat negeri maupun Pusat, kata Pengerusinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Menurutnya anggota serta pimpinan PKR perlu mengambil iktibar dari peristiwa 23 Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan PH tidak lagi menjadi kerajaan Persekutuan.

“Mandat yang telah disuarakan oleh rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu telah dinafikan melalui rancangan jahat yang telah didalangi oleh beberapa pimpinan politik negara dari pelbagai parti.

“Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang mengecam tindakan ini yang bermotifkan keuntungan kepada hanya kelompok tertentu dan seolah-olah perbuatan tersebut tidak menjadi kesalahan apabila berjaya dilaksanakan dengan pelbagai bentuk strategi dan taktik kotor.

“Mana-mana anggota atau pimpinan PKR Pulau Pinang diingatkan supaya tidak menyatakan sokongan secara bertulis, di media cetak, secara lisan atau apa-apa perbuatan yang disifatkan membawa kepada maksud yang sama dari segi penglibatan secara langsung atau
tidak langsung, ” ujarnya dalam kenyataan.

Tambah Bakhtiar, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang kenyataan di media sosial atau pergerakan dan aktiviti yang menjurus kepada niat membelot, bersubahat, memberi sokongan serta mencemarkan nama baik parti samada perbuatan atau kenyataan itu dibuat secara berseorangan maupun berkumpulan.

Malah ujarnya laporan serta aduan akan diadukan kepada Lembaga Disiplin Parti.

“Rentetan peristiwa yang telah berlaku sepanjang minggu lalu melibatkan aktiviti politik khianat yang dilakukan oleh beberapa cabang, maka perkara ini telah pun mendapat liputan media tempatan dan telah dihebahkan secara meluas tanpa mendapat maklum balas mahupun persetujuan dari pihak kami.

“Beberapa pengumuman khianat parti secara terbuka melibatkan sejumlah individu telah dilakukan oleh pihak yang menyerang parti yang mahu menegakkan prinsip.

“Namun begitu melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan mereka, terdapat kepincangan serta percanggahan maklumat yang nyata berkenaan jumlah anggota yang akan dan telah keluar parti dari setiap cabang serta pihak pimpinan parti turut menerima aduan

berkenaan penularan video yang bertujuan membuat provokasi terhadap pimpinan parti, ” tegasnya.

Beliau juga berkata tindakan disiplin ‘instead’ akan diambil segera dengan sewajarnya.

Katanya lagi, pimpinan serta anggota PKR Pulau Pinang akan terus komited untuk memberi khidmat yang terbaik kepada orang ramai tanpa mengambil kira kedudukan bangsa dan juga agama serta mengambil kira keperluan menjaga kebajikan masyarakat Melayu khususnya petani dan nelayan.