PKR Padang Besar buka pusat khidmat 24jam

PKR Padang Besar buka pusat khidmat 24jam
Amran bersama petugas beliau di hadapan pusat khidmat 24 jam di Padang Besar, Perlis.

PKR cabang Padang Besar menempa sejarah apabila menjadi salah satu cabang pertama di Negeri Perlis yang mewujudkan pusat khidmat beroperasi 24 jam.

Menurut ketua cabangnya, Amran Kamarudin, tujuan pusat khidmat ini dibuka 24 jam adalah bagi memberi peluang kepada sesetengah golongan yang tidak mempunyai masa untuk mendapat khidmat pada waktu pejabat.

Oleh kerana itu katanya, dengan khidmat yang diberikan ia bukan saja dapat membantu untuk menyelesaikan masalah penduduk sekitar cabang Padang Besar, tetapi juga seluruh negeri Perlis.

Amran Kamaruddin

“Pusat khidmat yang diwujudkan di Kampung Kolam, Padang Besar turut menyediakan petugas bagi mengendalikan masalah masyarakat.

“Apa jua masalah yang mereka hadapi, usaha bagi membantu akan diteruskan walaupun Pakatan Harapan (PH) bukan kerajaan yang memerintah di Perlis.

“Yang pasti khidmat adalah untuk semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Negeri Perlis turut berkata, dengan adanya pusat khidmat 24 jam, ia menempa sejarah di negeri Perlis.

“Memberi khidmat bukan sahaja pada waktu pejabat tetapi juga selepas waktu tersebut.

“Menyedari keperluan tersebutlah maka usaha telah diambil selepas mendapati beberapa permasalahan perlu diselesaikan walaupun selepas waktu pejabat.

“Ia bukan saja memberi impak positif kepada PKR tetapi juga kepada PH negeri Perlis,” tegasnya lagi.

Tambah Amran lagi, antara khidmat yang disediakan ialah membantu masalah mereka yang daif, asnaf, uzur, warga emas, kesihatan, pendidikan dan seumpamanya.

“Meskipun PH bukan kerajaan yang memerintah negeri Perlis, kita mempunyai kaedah untuk menyalurkan dokongan kepada mereka yang memerlukan.

“Pembelaaan harus diteruskan walaupun bukan menjadi kerajaan negeri.

“Komitmen PH jelas bahawa membela nasib rakyat akan diteruskan melalui pelbagai usaha termasuklah sokongan yang boleh diberikan oleh kerajaan Pusat melalui agensi kerajaan yang ada, ” jelas beliau .