Malaysia Dateline

PKR: Parti masa hadapan terus melangkah, bawa harapan rakyat pelbagai kaum

Melangkah 20 tahun usia dan perjuangannya sejak penubuhan pada 1999 Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lagi mampu menoleh ke belakang, sementelah pula dipilih sebagai satu daripada parti yang mendukung Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan sejak pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Peranannya kini berganda, bukan setakat mengkritik dan memperbetulkan kerajaan terdahulu semasa menjadi pembangkang tetapi membawa harapan rakyat terbanyak yang tertindas, terbeban dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial.

Barang diingat, PKR adalah parti pelbagai kaum yang progresif, disokong oleh masyarakat pelbagai peringkat bermula dari bawah turut mempunyai kerusi terbanyak dalam PH (50) di Parlimen dan 70 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

“Saya meninggalkan parti ini dalam keadaan terbaik. Kita kena ingat, kita parti yang bermula dari bawah. Kita mula dengan gerakan reformasi rakyat. Kita melalui susah payah dulu. Ini adalah asas perjuangan kita (reformasi). Jangan kita lupa sebab itu ujian masa kita susah.

“Tapi kita kena ingat ujian masa senang lebih menguji ketahanan dan kekentalan kita. Oleh itu saya minta jagalah parti ini baik-baik. Jangan kita lupa perjuangan ini untuk keadilan dibela. Keadilan untuk semua. Rakyat terbanyak perlu dibela, kita pegang pada janji ini.”

Itulah bait kata-kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada ucapan penggulungannya selepas 20 tahun memimpin parti berkenaan pada kongres tahunan parti tersebut yang berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Ideal di sini.

Walaupun selama ini menjadi Ketua Umum sejak 2007, presiden baharu PKR yang terpilih tanpa bertanding, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggantikan Dr Wan Azizah, beliau (Anwar) tidak menunggu lama meletakkan hala tuju, dasar dan wawasan parti dalam ucapan penangguhannya kepada lebih 2,000 perwakilan yang hadir.

Dalam ucapan pertama beliau sebagai presiden itu, Anwar, 71, yang tampil berbaju kemeja batik warna biru muda menegaskan : “Parti ini adalah parti untuk semua rakyat Malaysia, parti untuk masa depan.”

“Sayalah pemimpin Melayu yang sanggup menyatakan dengan terang kalau mahu memimpin negara ini kita mesti harus sedia terima semua anak-anak rakyat kita sebagai anak kita, anak Melayu anak Cina anak India anak orang Sabah atau Sarawak sebagai anak kita.

“Meritokrasi dan keadilan – menjadi kekuatan keadilan dan perlu pastikan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan ini kuat,” katanya.

Walaupun Dr Wan Azizah berpesan kepadanya supaya tidak terus masuk ‘gear laju’ dalam ucapannya, Anwar tetap bertegas dan mula menegur sesetengah sikap buruk anggota parti dalam aspek disiplin dengan menyatakan tindakan akan diambil kepada mereka yang engkar termasuk yang terbabit rasuah.

Isu pemilihan parti yang menghadapi banyak masalah juga tidak menyenangkan Anwar dan mempunyai keperluan untuk diperbaiki.

Ini kerana untuk tempoh hampir tiga bulan semasa proses pemilihan itu berlangsung dengan pelbagai isu dan kontroversi sedikit sebanyak telah merosakkan imej PKR.

Sedangkan, menurut Anwar, pemilihan itu sepatutnya berjalan dalam semangat keluarga yang besar dan walaupun terdapat perbezaan pendapat tidak wajar anggota atau penyokong mengejek dan mencerca calon lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa pemilihan Pusat PKR Datuk Rashid Din turut mengumumkan barisan kepimpinan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat bagi penggal 2018-2021 termasuk jawatan timbalan presiden PKR yang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan Rafizi Ramli.

Naib-naib Presiden PKR pula diisi oleh bekas anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau Tian Chua, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar, anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, pada sebelah pagi pimpinan utama parti menyampaikan ucapan penggulungan antara wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang menggesa seluruh anggota parti menterjemahkan agenda reformasi dan memperkukuh parti yang kini menjadi sebahagian kerajaan PH yang mentadbir negara.

Barisan naib presiden PKR pula rata-rata mengajak seluruh anggota parti bersatu dan berdiri teguh di belakang barisan kepimpinan baharu yang akan diterajui Anwar dan mengingatkan anggota parti agar tidak lupa pada asas penubuhan PKR iaitu untuk membawa reformasi kepada negara.

Mohamed Azmin yang menyampaikan ucapan penggulungan selaku timbalan presiden menggesa anggota parti bersama-sama dengan Anwar sebagai presiden baharu bagi memastikan parti itu terus kuat di samping mengukuhkan kerajaan.

Kongres PKR yang pertama kali diadakan selepas PH membentuk kerajaan diadakan selama dua hari bermula semalam dengan ucapan dasar presiden dan sesi perbahasan ucapan dasar presiden.

Jumaat lalu, dua sayap PKR AMK dan Wanita turut menjalankan kongres masing-masing.

— BERNAMA