Malaysia Dateline

PKR, Pas dan Gerakan pulang dengan tangan kosong

PKR yang meletakkan 11 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pulang dengan tangan kosong apabila tewas di semua kerusi ditandingi.

Di kerusi DUN Paya Rumput, Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan calon BN, Datuk Rais Yasin dari Pemuda Umno yang memperoleh majoriti tipis 629 undi.

Hal sama dialami Pas apabila gagal menawan mana-mana lapan kerusi yang ditandingi iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.

Mengulas kekalahan Pas dalam PRN Melaka, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpendapat parti itu sebenarnya ‘tiada gigi’.

“Pas tiada gigi di Melaka. Hanya ada gusi saja,” selorohnya dalam bual bicara pasca PRN Melaka di Astro Awani sebentar tadi.

Sementara itu, Gerakan yang juga merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) turut kecundang di lima kerusi ditandingi iaitu di Asahan, Kesidang, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Banda Hilir.