Malaysia Dateline

PKR Perak nafi wang tunai jutaan ringgit dirampas daripada Tinagaran

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan laporan berita yang mendakwa aset dan wang tunai berjumlah jutaan ringgit milik Timbalan Pengerusi negeri itu, MA Tinagaran, telah dirampas.

Beliau merujuk kepada laporan portal berita yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas sejumlah RM1.2 juta milik Tinagaran yang juga pegawai tugas-tugas khas kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar

Farhash mendakwa, beberapa portal berita cuba memberikan gambaran negatif dengan memutar belitkan fakta secara prejudis.

“Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit telah dirampas milik Tinagaran.

“Sebaliknya wang sejumlah RM17,000 dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan.

“Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, MA Thinagaran dilapor telah ditahan SPRM atas dakwaan rasuah sebuah projek pasir yang turut mengakibatkan sejumlah RM1.2 juta dirampas daripada sebuah rumah dan pejabat.

Laporan itu juga mendakwa, kereta mewah yang dirampas adalah kereta yang digunakan Xavier sebagai kereta rasminya semasa menjadi menteri.

Pada masa sama, bank akaun milik individu dan syarikat dengan wang berjumlah RM77 juta juga didakwa telah dibekukan.

Sementara itu, Farhash mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Lebih mendukacitakan apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut,” katanya lagi.