Malaysia Dateline

PKR Perak siap siaga bantu doktor kontrak

Biro Guaman PKR Perak telah siap siaga untuk membantu memberi khidmat guaman kepada mana-mana doktor kontrak yang diugut, diancam dan diambil tindakan oleh pihak hospital setelah menyertai Hartal Doktor Kontrak serentak seluruh negara pada 26 Julai lalu.

Pengerusinya, Khairul Anuar Musa berkata, dengan adanya khidmat daripada barisan peguam itu memberi peluang kepada doktor terlibat supaya diberi pembelaan yang sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kesihatan PKR Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad (gambar) ketika dihubungi turut berkata, walaupun Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan untuk melanjutkan tempoh kontrak selama dua tahun lagi, ia begitu jelas membuktikan kerajaan tidak menjawab permohonan doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.

“Kami optimis bahawa hak bersuara adalah hak asasi manusia yang perlu dibela dan hak doktor muda ini perlu diberi pembelaan dan diangkat oleh kita semua agar keadilan dapat ditegakkan bagi golongan tersebut.

“Kita menentang segala jenis ketidakadilan dan penindasan kerajaan PN ke atas sesiapa sahaja termasuk kumpulan doktor kontrak yang terlibat dalam Gerakan Hartal pada 26 Julai lalu.

“Segala ugutan dan tindakan disiplin ke atas mereka dikutuk sekeras-kerasnya. Biro Guaman PKR Perak siap siaga bagi memberi khidmat sekiranya perlu,” tegasnya yang juga pengamal perubatan serta Ahli Majlis Pimpinan PKR Perak.

Difahamkan, beberapa doktor kontrak terlibat telah menerima surat tunjuk sebab ekoran menyertai gerakan Hartal Doktor Kontrak kelmarin.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak, 26 Julai lalu disertai pegawai perubatan di seluruh negara.