Malaysia Dateline

PKR Perlis optimis rampas semua kerusi Parlimen

PKR Negeri Perlis optimis tiga kerusi Parlimen mampu menjadi milik Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 15 yang akan datang.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Amran Kamaruddin, keyakinan ini bukanlah satu omongan kosong tetapi berdasarkan kepada sokongan rakyat negeri Perlis tatkala ini yang mahu perubahan.

“Tiga kerusi Parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar mampu dipertahankan dan dirampas dalam PRU yang akan datang.

“Parlimen Kangar telah dimenangi oleh PKR dalam PRU yang lalu dan tidak menjadi kesukaran kepada PKR dan PH untuk mempertahankannya manakala dua lagi kerusi Parlimen iaitu Padang Besar dan Arau harus dirampas dalam PRU ke 15.

“Manakala 5 kerusi Dun yang telah ditandingi oleh Bersatu pada PRU yang lalu akan turut dirampas bagi memastikan kesemua 15 kerusi Dun Perlis menjadi milik PH dalam PRU kali ini,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Besar.

Yang pasti katanya kerjasama yang kuat antara komponen dalam PH negeri Perlis haruslah dipertingkatkan serta dilipatgandakan bagi merealisasikan hasrat kemenangan besar tersebut.

Malah tambah beliau, rakyat semakin bosan dengan pelbagai kepincangan dalam kepimpinan kerajaan PN sehinggakan ramai yang mahukan PH menerajui kepimpinan negeri maupun Pusat dengan secepat mungkin.

PKR berjaya memenangi Parlimen Kangar pada PRU14 yang lalu, dua kerusi lagi iaitu Arau dan Padang Besar berjaya dimenangi BN.

Seramai 150,221 pemilih berdaftar telah mengambil bahagian dalam PRU14 lalu.