Malaysia Dateline

PKR Perlis syor PH guna lambang PKR PRU-15

PKR Perlis menggesa komponen Pakatan Harapan (PH) supaya menggunakan lambang dan logo PKR bagi mewakili semua komponen blok pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Amran Kamarudin, berkata sejarah kemenangan PH dalam PRU-14 dengan menggunakan logo PKR melibatkan 193 kawasan Parlimen dan 453 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) harus diulangi supaya kesepakatan ke Putrajaya menjadi realiti.

Amran Kamarudin

“Logo dan lambang PKR telah dikenali ramai dan memudahkan pengundi untuk membuat pilihan serta penjenamaan semula moto ‘keadilan untuk semua’ tanpa mengira kaum, agama dan gender terbukti telah berjaya menarik ramai pengundi untuk memberi mandat kepada PH.

“Selain itu ia juga menjadi simbol dan lambang perjuangan yang mahukan kerajaan yang bersih, berintegriti serta mengutamakan perjuangan rakyat marhaen menentang sistem korup dan zalim sepertimana yang telah dizahirkan dalam PRU-14 lalu.

“Sejajar dengan itu Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis bersama dengan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita serta ketua-ketua cabang dari negeri Perlis dengan ini mengesyorkan supaya logo dan lambang Keadilan diguna pakai sekali lagi dalam PRU-15 bagi memastikan ia mampu menarik sokongan berulang sekali lagi untuk memenangkan PH,” tegasnya yang juga Ketua Cabang Padang Besar.

Sokongan bersama itu turut didukung oleh pimpinan ketiga-tiga cabang di negeri tersebut iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.