Malaysia Dateline

PKR perlu masa bincang pelantikan baharu pengerusi PKR Pulau Pinang

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan sedikit masa lagi bagi membincangkan mengenai pelantikan Pengerusi PKR Pulau Pinang baharu memandangkan parti berkenaan baru selesai melantik pengerusi-pengerusi negeri di seluruh negara.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata disebabkan itu, isu berkenaan tidak sepatutnya menjadi polemik besar terhadap anggota dan kepimpinan parti kerana keputusan mengenai pelantikan baharu jawatan berkenaan dilihat tidak harus dibuat secara tergesa-gesa.

“Pelantikan pengerusi PKR negeri adalah menerusi rundingan antara presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan ketua-ketua cabang dan presiden mempunyai prerogatif untuk buat lantikan. Saya tahu ada pandangan menyatakan ia perlu disegerakan tapi saya yakin perkara itu di bawah penelitian presiden.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar juga akan membuat penelitian sama ada untuk teruskan kekalkan Nurul Izzah Anwar (penyandang jawatan itu) atau buat pelantikan baharu,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Jom MSPO Pekebun Kecil Sawit Orang Asli’ di Pulau Carey, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin baru-baru ini supaya Anwar segera melantik Pengerusi PKR Pulau Pinang bagi memastikan sebarang keputusan dalam pentadbiran kerajaan negeri membabitkan parti itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Susulan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengingatkan Dr Afif supaya menghormati presiden parti serta sepatutnya menunggu sebarang keputusan yang akan dibuat presiden parti itu.

Saifuddin turut meminta Dr Afif menumpukan tugas sebagai wakil rakyat dan menyerahkan tugas lantikan berkenaan kepada presiden memandangkan kerja sebagai Adun dan Exco terlalu banyak untuk dipikul.

Pada 17 Dis lepas, Nurul Izzah, yang dikenali sebagai ‘Puteri Reformasi’ semasa awal pergerakan reformasi mengumumkan keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota biasa PKR dan anggota Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat tempoh penggal.- BERNAMA