PKR putuskan tidak bertanding di PRK Tanjong Datu

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu bulan depan bagi menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum ke-14.

PKR putuskan tidak bertanding di  PRK Tanjong Datu

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu bulan depan bagi menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum ke-14.

Pengerusinya Baru Bian berkata keputusan itu juga sebagai memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan semua janji yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata PKR melihat sebahagian visi yang digariskan oleh bekas Ketua Menteri itu seiring dengan wawasan PKR serta aspirasi rakyat Sarawak, justeru wajar dilunas oleh pengganti Allahyarham, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Beliau (Abang Johari) melakukan tugasnya dengan baik semasa sidang media pertamanya dengan mengatakan beliau akan meneruskan wawasan yang digariskan Allahyarham.

“Itu satu permulaan yang baik, namun yang kami bimbangkan ialah sama ada beliau akan laksana atau adakah beliau mampu melaksanakannya. Kami percaya rakyat akan adili anda,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Adenan selepas mengalami komplikasi jantung pada 11 Jan lalu.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada Mei tahun lepas, Adenan, 72, meraih 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang hanya memperoleh 468 undi.

Mengulas lanjut, Baru berkata keputusan hari ini juga adalah muktamad memandangkan PKR peringkat pusat telah menyerahkan kepada PKR Sarawak untuk membuat keputusan berhubung perkara itu