Malaysia Dateline

PKR Santubong serah kepimpinan PH tentukan calon PM

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Santubong menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan menentukan calon Perdana Menteri.

Menurut Ketua Cabangnya, Ahmad Nazib, bagaimanapun semua Ahli Jawatankuasa PKR Santubong tetap menyokong penuh dan setia bersama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengharapkan agar segera diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun pelbagai spekulasi yang melanda politik negara sedang hangat berkaitan calon PM, namun saya enggan mengulas tentang perkara itu dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PH bagi membuat keputusan.

“Kami akan sentiasa menyokong dan tetap setia bersama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau dalam satu kenyataan ringkas selepas Mesyuarat PKR Cabang Santubong di Kuching hari ini.

Ahmad Nazib menegaskan, sebagai sedia maklum bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan berlangsung pada bila-bila masa dan dengan itu PKR Santubong kini giat merangka program dan bersedia menggerakkan jentera parti untuk turun ke lapangan.

Kata beliau lagi, antara aktiviti dan program yang bakal dilaksanakan ialah Program Jelajah Rapat Masyarakat di Parlimen Santubong.

“In shaa Allah…kita akan berkunjung ke kampung-kampung di seluruh Parlimen Santubong untuk mengadakan siri ceramah kelompok serta berjumpa dengan pengundi untuk menerangkan isu politik semasa negara serta tempatan,” tambahnya.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat di Parlimen Santubong supaya dapat mengambil peluang untuk menerima kepimpinan baru yang lebih berani membela nasib rakyat dalam menuntut hak yang sepatutnya dinikmati sekali gus menerajui kerajaan negeri nanti.

“Dengan itu juga, kita akan menolak kepimpinan yang mengamalkan politik salah guna kuasa, menindas rakyat dan kronisma yang merugikan rakyat di negeri ini,” ujarnya.