Malaysia Dateline

PKR Sarawak cadang PRN12 diadakan Ogos 2021

Kerajaan Negeri Sarawak digesa agar memutuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak diadakan pada Ogos 2021 iaitu tempoh maksimum seperti mana ia dapat dilanjutkan mengikut Perlembagaan Negeri.

Menurut Timbalan Ketua Wanita Keadilan Negeri Sarawak Zulhaidah Suboh, ia adalah bagi membolehkan perancangan yang dijalankan berupaya memberi jangka masa yang mencukupi untuk semua pihak bersiap siaga dalam usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19 ketika PRN dilaksanakan kelak.

Katanya, PKR Sarawak tidak bersetuju PRN1 diadakan pada masa terdekat berikutan situasi penularan wabak Covid-19 yang masih tidak menentu sekali gus mampu mendatangkan risiko yang berbahaya kepada kesihatan awam.

“Walaupun terdapat perbezaan ideologi politik, kami bersetuju dengan pendapat Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan bahawa penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan berakhir pada Jun tahun depan dan pilihan raya boleh ditangguhkan sehingga Ogos 2021.

“Begitu juga di negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi yang matang, tarikh untuk pilihan raya yang bakal diadakan telahpun ditentukan sama ada secara tetap atau setelah satu pilihan raya tamat,” katanya dalam kenyataan media.

Tegasnya, menentukan tarikh pilihan raya yang bakal diadakan adalah amat penting untuk persediaan awal semua pihak.

“Dengan keadaan penularan wabak Covid-19 yang semakin bertambah, ia adalah amat membimbangkan. Ini ditambah lagi dengan keperluan bagi semua pihak untuk membuat persiapan awal untuk mengelakkan keadaan penularan wabak menjadi semakin teruk,” ujar beliau lagi.