Malaysia Dateline

PKR Sarawak dakwa gelaran ‘wilayah’ hanya retorik

Parti Keadilan Sarawak (PKR) mendakwa perisytiharan Sarawak sebagai sebuah ‘wilayah’ oleh Kerajaan Persekutuan dianggap sebagai retorik semata-mata dan tidak membawa banyak makna kepada negeri ini.

Menurut Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit, perisytiharan tersebut tidak membawa apa-apa keuntungan kecuali mengembalikan taraf ‘rakan kongsi setaraf’ antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Katanya, PKR Sarawak mengajak warga Sabah dan Sarawak mengimbau kembali bahawa Sabah dan Sarawak adalah berstatus ‘Negara’ sebelum dan semasa menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 pada 9 Julai 1963.

“Semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti keadaan asal Perkara 1(2) untuk mengembalikan hak ‘equal Partner Sarawak’ telah dibentangkan di Parlimen pada April 2019, malangnya tidak lulus kerana kurang 10 undi untuk mendapatkan 2/3, iaitu 148 undi. Kegagalan ini disumbangkan oleh wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sarawak seramai 19 orang yang tidak menyokong.

“Justeru, kita menggesa agar wakil-wakil rakyat GPS dan Kerajaan Persekutuan membuka Dewan Parlimen dan membincangkan usul-usul berkaitan pengisytiharan oleh Perdana Menteri sebagai “wilayah” sebelum kita menerima pengistiharan ini,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Abun menegaskan, PKR Sarawak agak terkejut dengan penerimaan mentah-mentah pengisytiharan itu oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, hal sepenting itu tidak boleh diputuskan oleh Ketua Menteri bersendirian melainkan dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu dan dibahaskan.

“Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri mengapa beliau menerima mentah-mentah pengisytiharan Perdana Menteri mengatakan Sarawak sebagai “wilayah’.

“Maka, dengan itu saya menggesa agar pengisytiharan sepenting itu dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), sama ada boleh diterima atau tidak

“Kalau perbahasan belum dilakukan di Parlimen atau DUN Sarawak, maka perisytiharan ini umpama khabar angin yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat Sarawak dan Sabah,” soal Abun.

Tambahnya, PKR Sarawak tidak boleh menerima perisytiharan wilayah itu kerana tidak membawa apa-apa keistimewaan bersamanya seperti terma rakan kongsi setaraf seperti yang diperjuangkan oleh PH dahulu.

“Kita belum boleh menerima panggilan wilayah ini atas sebab tidak ada keistimewaan-keistimewaan yang turut dijanjikan bersama terma wilayah tersebut.

“Oleh demikian, kami mendukung kenyataan awal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu menyokong status Sarawak tidak sama taraf dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia (sebaliknya rakan kongsi Malaysia).

“Dan adalah jelas bahawa pengumuman Sarawak sebagai wilayah turut dianggap mengelirukan dan dipertikai warganet. Mereka mempersoalkan terma wilayah itu bermaksud sama seperti kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang boleh meletakkan Sabah dan Sarawak di bawah seliaan Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.