Malaysia Dateline

PKR Sarawak fokus perjuang idealisme hak rakyat

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak tetap fokus memperjuangkan idealisme hak rakyat di negeri ini terutamanya berkaitan isu-isu kebajikan yang masih belum mampu diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, pihaknya sentiasa memperjuangkan hak tanah adat (NCR), bekalan air dan elektrik, sistem kesihatan yang mantap, jalan raya yang selamat serta peluang pekerjaan untuk belia kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Malah, katanya PKR Sarawak turut memperjuangkan penjanaan ekonomi serta pendapatan minyak dan gas di negeri ini demi untuk pembangunan rakyat di luar bandar dan pedalaman.

“Manifesto PKR Sarawak ialah memberi penekanan yang tinggi kepada dasar polisi perhutanan dan pertanian lestari, anti rasuah dan reformasi pentadbiran.

“Malah, kita juga terus menyeru kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan masalah kesinambungan digital serta isu kewarganegaraan terutamanya penduduk luar bandar yang miskin secepat mungkin,” tegas Abang Zulkifli.

Mengenai pimpinan PKR Sarawak yang kini di bawah “Council Of Elders, beliau menjelaskan keputusan tersebut telah dibuat melalui konsensus baru-baru ini.

Tambahnya, memandangkan PKR Sarawak bukannya sebuah organisasi yang bergantung kepada personaliti atau populariti seorang dua pemimpin tetapi ia adalah sebuah organisasi yang digerakkan oleh akar umbi di negeri ini.

“Berbeza dengan pemimpin sebelum ini pucuk pimpinan kini lebih fokus kepada melatih ahli akar umbi dan membangunkan kempen yang berasaskan manifesto serta menggerakkan Cabang PKR di seluruh Sarawak melalui aktiviti kebajikan seperti bantuan makanan Covid-19 dan banjir serta program mengedar PPE untuk ‘frontliners’ dan kerusi roda kepada golongan pesakit B40.

“Dari Lundu hingga ke Lawas, kita diwakili oleh kumpulan aktivis daripada akar umbi yang gigih berkhidmat menjaga kebajikan masyarakat dan memperkukuhkan perjuangan yang tulen.

“Ramai pejuang dan pemimpin akar umbi PKR Sarawak selama 20 tahun masih kekal kuat bersama parti dan rakyat,” kata beliau.

Jelasnya, ketika ini PKR Sarawak tidak memerlukan seorang pengerusi baharu kerana yang penting ialah perpaduan dan kerjasama yang baik di kalangan ahli serta pemimpin parti.

Untuk itu, ujarnya PKR akan terus mempertahankan hak rakyat melalui parti berbilang kaum dengan memperjuangkan keadilan untuk semua anak Sarawak yang tertindas khususnya kepada rakyat yang miskin.

“Selaku Timbalan Pengerusi MPN PKR Sarawak, saya mengucapkan tahniah kepada semua kerana sedikit pun tidak goyah dengan pengkhianat yang keluar dari parti dalam masa setahun lebih ini.

“Sebaliknya kita mengambil iktibar untuk terus bekerja dengan lebih kuat bagi membantu rakyat dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.