Malaysia Dateline

PKR Sarawak mahu tolak kerjasama dengan Tun Mahathir

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang, Abun Sui Anyit meminta pucuk pimpinan parti menolak kerjasama dengan Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana katanya, bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai penghalang utama dan tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, ini merupakan antara tiga resolusi yang dicapai Cabang Hulu Rajang dalam Mesyuarat Agung Tahunannya pada Ahad lalu yang diadakan secara atas talian.

“Pada mesyuarat ini, kami turut menyatakan sokongan penuh terhadap presiden parti, Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Bagi resolusi ketiga, PKR Hulu Rajang menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sarawak menaik taraf Daerah Belaga menjadi Bahagian Ke-13 sebelum Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan,” tegas Abun dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, Pakatan Harapan (PH) Sarawak bakal mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian Ke-13 dalam Sarawak, sekiranya diberi peluang menarajui kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang bakal diadakan bila-bila masa.