Malaysia Dateline

PKR Sarawak seru ahli usah gusar, pemimpin datang dan pergi

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh memberitahu keputusan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien meletakkan jawatan sebagai ketua parti tidaklah mengejutkan.

Menurutnya, Wei Shien telah menyatakan hasrat tersebut sejak dua bulan lalu selepas sejak setahun memimpin parti.

Untuk rekod, Wei Shien yang juga anak lelaki veteran politik Sarawak, Datuk Sng Chee Hwa, memenangi kerusi Parlimen Julau sebagai calon Bebas sebelum menyertai PKR selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Sehubungan itu, Abang Zulkifli memberi jaminan PKR negeri tetap akan berjalan seperti biasa termasuk urusan di peringkat cabang.

“Di samping itu, program memperkukuhkan jentera di setiap kawasan berjalan seperti biasa dengan gerakan menyantuni rakyat tetap menjadi rutin pimpinan kita.

“Saya menyeru ahli parti supaya jangan gusar, sebaliknya meneruskan usaha menperkuatkan parti di semua peringkat.

“Norma berpolitik, memang begitu. Pemimpin akan datang dan pergi.

“Antara cabaran kecil dalam dunia politik ialah bila kita berhadapan dengan tabiat ahli dan pemimpin lari dan melompat parti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.