PKR Selangor perlu ambil serius laksana Pilihan Raya Majlis Tempatan, kata AMK

PKR Selangor perlu ambil serius laksana Pilihan Raya Majlis Tempatan, kata AMK

Majlis Pimpinan (MPN) PKR Negeri Selangor digesa melaksanakan Pilihan Raya Majlis Tempatan bagi memastikan pemilihan barisan Ahli Majlis dapat dibuat secara terbuka dan demokratik.

Setiausaha Pengelola AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, pelantikan Ahli Majlis wajar untuk diberi ruang kepada akar umbi untuk memilih Ahli Majlis yang akan mewakili kawasan mereka.

“Saya merasakan isu ini perlu diberi perhatian serius oleh Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Selangor.

“Sememangnya Perlembagaan Keadilan Perkara 29.1.G menetapkan MPN bertanggungjawab dalam memutuskan calon-calon yang ingin dikemukakan untuk sebarang jawatan politik bagi negeri berkenaan.

“Nama calon-calon ini pula boleh diperolehi daripada kepimpinan Keadilan di peringkat Cabang yang diberi kuasa menurut perkara 39.1.F Perlembagaan Keadilan untuk mencadangkan calon-calon daripada Cabang berkenaan.

“Saya kira MPN Selangor perlu memperjelaskan secara terperinci bagaimana proses pemilihan dan saringan dalam memutuskan calon-calon Ahli Majlis ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai peletakan jawatan Setiausaha AMK Selangor, Syed Badli Syah Syed Othman baru-baru ini, kerana mendakwa wujud kepincangan dalam pemilihan calon-calon Ahli Majlis mewakili Keadilan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Kritikan yang dilontarkan Syed Badli Syah ini kemudiaannya diikuti dengan beberapa lagi pandangan pemimpin akar umbi keadilan Selangor yang menyuarakan kebimbangan yang sama.

Syukri Razab turut melahirkan kebimbangannya apabila wujud dakwaan yang mengatakan pemilihan ini dipengaruhi kepentingan faksi tertentu dalam parti.

“Dikhuatiri pemilihan berasaskan kecenderungan terhadap suatu faksi ini bakal merencatkan usaha untuk memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan. Pemilihan seseorang Ahli Majlis perlulah dibuat berasaskan merit bagi memastikan gagasan Pakatan Harapan seperti yang digariskan dalam janji ke 25 Manifesto Harapan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Janji ke 25 manifesto harapan adalah menekankan komitmen untuk memperkukuh demokrasi setempat dalam meletakkan agenda global seperti Sustainable Development Goals 2030 sebagai teras dalam penambahbaikan PBT seluruh negara.

 

COMMENTS

Wordpress (0)